Thursday, November 25, 2010

Keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi: Hj Nawawi bin Hj Mohd Tahir

Keturunan Syaikh Ahmad di Perak Darul Ridzuan
                Di negeri Perak keturunan Syaikh Ahmad bertumpu di kawasan Pantai Remis, Pengkalan Baru dan Taiping. Di antara tokoh yang menonjol dari keturunannya di Perak ialah Haji Nawawi bin Haji Mohd. Tahir bin Mohd. Amin bin Abdul Rahman bin Syaikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani.


Biografi Haji Nawawi bin Haji Mohd. Tahir
                Hj Nawawi lahir pada 1300 Hijrah bersamaan 1881 Masihi dan meninggal dunia  pada 21.7.1969. Beliau mendapat pendidikan dari bapa saudaranya Haji Mohd. Shafie Losong di Terengganu dan Tuan Hussain Al-Banjari di Kedah.
                Menjadi penasihat agama kepada 5 orang Sultan Perak dari Sultan Alang Iskandar hingga ke Sultan Abdul Jalil. Beliau adalah anggota pengasas Madrasah Idrisiah Bukit Chandan bersama beberapa ulama terkemuka seperti Syaikh Hassan Yamani (bapa kepada Syaikh Ahmad Zaki Yamani – bekas Menteri Minyak Saudi), Syaikh Abdullah Maghribi dan Syaikh Abdullah Fahim (datuk kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi).
                Mempunyai 24 orang anak dari 3 orang isteri. Beliau dikenali sebagai Tuan Che’ Wi Janggut Merah disebabkan beliau selalu menginaikan janggut dan rambut beliau.

Ketokohan Beliau
Kalau Haji Shafie Losong dikenali sebagai ulama yang sangat wara’. Haji Nawawi pula dikenali dengan sifat berani dan tegas beliau dalam mempertahankan hukum-hukum Islam. Peristiwa-peristiwa berikut menunjukkan keberanian beliau :-
         i.        Fatwa mengenai tegahan berkabung dengan melilit kain putih di kepala yang diamalkan oleh para kerabat di raja. Segolongan masyarakat telah mengadukan kepada Sultan Perak mengenai tegahan beliau terhadap perbuatan tersebut. Beliau dipanggil mengadap Sultan. Umum menganggap beliau akan dimurkai Sultan.

Beliau telah datang ke istana dengan membawa kain putih (kain kafan) lalu ditanya Sultan untuk apa kain tersebut. Jawab beliau : “Kalau patik dihukum pancung pada hari ini kerana fatwa tersebut maka inilah kain kafannya”.

       ii.         Sultan Perak (Sultan Iskandar) telah memanggil para ulama Perak untuk berbuka puasa di istana. Belum pun tiba waktu berbuka Sultan Iskandar menyeru kepada semua yang hadir supaya menjamah makanan. Semua mereka terdiam tidak berani membantah lalu Haji Nawawi bangun memberitahu Sultan dengan kata-kata : “Kalau tuanku hendak masuk neraka masuklah seorang”.

Akhirnya Sultan memuji keberanian beliau menegur Sultan dan Baginda memarahi ulama-ulama yang membisu dengan kata-kata , “Nasib baiklah di negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta”.

      iii.       Beliau pernah menunggu di tempat yang pernah dijadikan tempat semah jin dengan kepala kerbau secara tahunan. Bagi menghapuskan amalan tersebut beliau telah menunggu di tempat dan waktu yang pada tiap-tiap tahun diadakan acara menjamu kepala kerbau. Apabila tiba masanya jin tersebut telah datang dan menggegarkan suasana sekeliling. Keesokannya bomoh yang meminta supaya dijamu kepala kerbau telah meninggal dunia.

Beberapa Keistimewaan Beliau
1.       Sewaktu pemerintahan Bintang 3 (selepas pengunduran Jepun) banyak ulama telah dibunuh. Beliau antara yang menjadi sasaran tetapi dipelihara Allah s.w.t.. Satu peristiwa berlaku di mana kebiasaannya komunis Bintang 3  melarang orang-orang kampung untuk menghadiri pengajian agama di masjid atau surau.

Pada suatu hari anak murid beliau ditanya komunis ke majlis siapa (di masjid) yang beliau hendak pergi. Maka dijawabnya; “Majlis Hj Janggut Merah”. Lalu komunis tersebut tidak jadi menghalang orang tersebut. Apabila ditanya mengapa beliau tidak melarang, maka komunis menjawab bahawa mereka pernah menangkap Hj Nawawi dan dimasukkan ke dalam guni untuk dilemparkan ke dalam laut Pantai Remis. Namun akhirnya mereka mendapati beliau tidak ada, dan yang ada hanyalah batu (padahal pada waktu itu Haji Nawawi berada di rumah). Peristiwa tersebut menimbulkan rasa gerun di hati mereka dan mereka tidak berani mengganggu lagi.

2.     Seorang penjual ikan membuat pengakuan kepada penulis bahawa beliau sewaktu kecil sangat nakal dan pernah menuang ikan dari raga (hasil menjala ikan Haji Nawawi) ke atas pasir. Apa yang menghairankan beliau adalah ikan tersebut telah melompat masuk balik ke dalam raga tersebut. Peristiwa itu sedikit sebanyak telah menginsafkan penjual ikan tersebut.

3.     Di satu majlis ilmu, Hj Nawawi telah menutup kitab dan memberhentikan kuliah beliau. Beliau memberitahu majlis bahawa isterinya telah bersalin. Apabila ditanya beliau siapa yang memberitahu, beliau menunjukkan burung yang berada di tingkap itu yang memberitahunya. (perkara ini diceritakan oleh seorang anak murid beliau)

4.     Di hari kematian beliau, pelepah pisang yang dipotong untuk menutup kawah nasi tidak kering selama lebih kurang 40 hari, walaupun ketika itu musim kemarau.

5.     Beliau menguasai pelbagai bahasa seperti Arab, Urdu, Tamil, Cina, Inggeris, Aceh dan lain-lain.

6.     Beliau juga mendalami ilmu perubatan Arab-Yunani (Greco-Arabic Medicine) dan Berjaya menghasilkan beberapa jenis formulasi ubat berasas herba termasuk Ma’jun Saidina Ali yang merupakan formula yang diamalkan oleh Saidina Ali karramallahu wajhah.

Penutup
Hj Nawawi tetap dikenang sehingga sekarang sebagai Ulama Perak yang berpendirian tegas dan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi sekarang. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas rohnya.


2 comments:

  1. Salam, jika ada lagi cerita mengenai Tuan Guru Hj. Nawawi, mohon sila tambahkan lagi... saya hanya mendengar cerita-cerita beliau dari ayah saya yang mendengarnya pula dari datuk saya dan org2 tua lain seperti kisah berkenaan buka puasa bersama Sultan (versi ayah saya, tuan guru naik berdiri atas meja makan ketika bercakap) dan Bintang 3... menurut ayah saya, ketika sangat kecil (mgkin 6-8 tahun) dia pernah dibawa oleh ibunya ke kuliah Tuan Guru (utk minta didoakan supaya jadi org yg baik kerana ayah saya mmg nakal ketika kecil), dan menurutnya dia tidak kenal siapa cuma tahu bahawa Tuan Guru tersebut seorg sgt2 dihormati. Yg cuma ayah saya ingat ketika itu tuan guru tersebut sedikit tertutup sebelah matanya dan berinai janggutnya. Apabila dewasa barulah ayah saya tahu itulah Tuan Guru Hj. Nawawi yg terkenal. Syukur di blog ini saya dpt melihat gambar sebenar beliau dan akan saya tunjukkan pada ayah saya nanti. Menurut ayah saya Tuan Guru Hj. Nawawi adalah seorang yang sgt karamah... diharap tuan blog dapat menceritakan sedikit jenis tareqat yg diamalkan oleh Tuan Guru Hj. Nawawi ini... terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,adakah dia mempunyai karya atau ada orang menghasilkan karya tentang beliau?

    ReplyDelete