Thursday, November 25, 2010

Keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi: Hj Omar Merbok (1858-1938)

Kemunculan ulama di negeri Kedah Darul Aman merupakan satu kesinambungan bagi meneruskan matlamat perjuangan para Nabi dan Rasul supaya manusia tidak jemu-jemu menuntut ilmu fardhu ain dan fardu kifayah. Di dalam konteks ini tidak juga terkecuali penglibatan Haji Omar di dalam mengembangkan ilmu agama kepada masyarakatnya. Baginya menyebar dan mengembangkan ilmu agama adalah merupakan satu ibadah yang diwajibkan ke atas manusia.

Nama penuh Haji Omar Merbok  ialah Haji Omar bin Haji Muhammad Amin bin Tok Subuh Abdul Rahman bin Sheikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani. Beliau dilahirkan di Kampung Kangkung, Simpang Empat, Alor Setar, Kedah pada tahun 1858 dan merupakan anak bongsu dari tujuh orang adik-beradik. Neneknya mengembara dari Yaman ke Acheh dan kemudiannya ke Tanah Melayu semata-mata untuk menjalankan dakwah Islamiah. Di Tanah Melayu, beliau bertemu jodoh dengan seorang gadis di Seberang Prai. Hasil perkahwinannya itu beliau mendapat seorang cahaya mata lelaki yang bernama Muhammad Amin, iaitu ayah kepada Haji Omar.

Haji Omar mendapat didikan awal di kampung halamannya sendiri dan kemudian meneruskan pelajarannya di sebuah sekolah agama pondok di Terengganu. Dalam lingkungan umur dua puluh tahun beliau menyambung pula pelajarannya di Mekah selama tujuh tahun. Sekembalinya dari Mekah, beliau berkahwin dengan Cik Zainab binti Muhammad Saman, seorang gadis dari Bukit Tengah, Seberang Perai. Hasil perkahwinannya itu beliau dikurniakan dengan tujuh orang cahaya mata iaitu Zainal Abidin, Khalijah, Che Ah, Romlah, Rodziah, Mukminah dan Ahmad.

Adalah tidak lengkap jika seseorang yang menuntut di Mekah tidak membuka sekolah agama ataupun mengajar agama kepada masyarakatnya. Begitulah dengan Haji Omar yang mengambil inisiatif membuka sebuah sekolah agama mengikut sistem sekolah pondok di Kampung Sungai Kedak, Seberang Perai. Pada tahun 1928, setelah lima tahun mengajar di sini, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Merbok pula. Ada yang berpendapat bahawa selain daripada  membuka sekolah agama, beliau juga berhasrat untuk memugar tanah untuk menanam pokok getah. Ini disebabkan permintaan terhadap getah adalah tinggi pada ketika itu.

Pada tahun 1933, Haji Omar dengan bantuan masyarakat  tempatan telah membersihkan sebidang tanah di satu kawasan bukit yang berhampiran dengan Merbok. Dan kawasan yang diterokai ini dikenali dengan nama Bukit Haji Omar hinggalah sekarang.

Sekolah pondok yang dibuka oleh Haji Omar dikenali dengan nama Madrasah Bukit Haji Omar. Selain daripada pelajar tempatan terdapat juga pelajar-pelajar daripada Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Jambi (Indonesia) yang datang menuntut di madrasah tersebut. Antara mata pelajaran yang diajar di sini termasuklah membaca Al-Quran, Tafsir, Hadis, Fiqh, Usuluddin dan Sirah.

Selain daripada mengajar, Haji Omar juga gemar menulis tentang hal-hal agama. Menurut anaknya, Haji Ahmad, bapanya telah mengarang beberapa buah kitab mengenai Usuluddin, tetapi sayangnya kitab-kitab itu telah hilang dari simpanannya. Adalah dipercayai juga bahawa Haji Omar mempunyai kekuatan luar biasa kerana beliau dapat mematahkan besi sebesar jari kelingking dengan menggunakan  tenaga fizikalnya sahaja.

Apabila perjalanan sekolah pondoknya agak mantap, Haji Omar ke Mekah sekali lagi pada tahun 1938 untuk menunaikan rukun Islam kelima. Kali ini beliau ditemani oleh isteri dan anaknya, Ahmad. Beliau hanya sempat berada di Tanah Suci selama empat belas hari sahaja kerana diserang demam panas lalu meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Ma’ala di Mekah.

Suatu hal yang agak menarik juga ialah empat orang daripada menantunya, setelah berguru kepadanya, akhirnya membuka madrasah masing-masing. Haji Ishak misalnya, membuka sebuah Madrasah di Pengkalan Baru, Pantai Remis, Perak. Haji Othman Yunus mengasas pembukaan sekolah Pondok Besar, Kedah. Haji Ismail dan Lebai Abas pula menjadi ulama yang terkenal di Merbok.

Walaupun Haji Omar telah meninggal dunia, namun kegiatan menyebarkan ilmu melalui sekolah pondoknya tetap diteruskan oleh anak-anak, para menantunya dan juga cucu-cucunya. Mulai tahun 1982, Madrasah Bukit Haji Omar diberi nafas baru dengan beberapa penyesuaian baru supaya ia dikenali dengan nama Yayasan Pengajian Islam Merbok atau nama ringkasnya YAPIM. Jadi, penglibatan Haji Omar dalam bidang ilmu pendidikan tetap mengharum bak setanggi untuk sepanjang zaman.
           

Dipetik dan diedit daripada Siri Ulama’ Kedah, oleh Ismail Restu.




MADRASAH ZUBAIDIYAH MERBOK


Madrasah Zubaidiyah Merbok didirikan pada tahun 1988 sebagai kesinambungan usaha-usaha Haji Omar Merbok mendirikan Madrasah Bukit Haji Omar dan Yayasan Pengajian Islam Merbok (YAPIM), menyediakan sekolah rendah dan menengah Islam, pusat jagaan anak yatim dan aliran Tahfiz Al-Quran.
            Kini mudirnya ialah saudara Hanif Ghazali-cicit kepada Haji Omar Merbok. Kemudahan-kemudahan seperti asrama, surau, dewan dan lain-lain lengkap disediakan di sini. 

No comments:

Post a Comment